PENGENALAN

Hari Inovasi MARDI (HIM) merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak 2011. Pelbagai program dianjurkan sempena Hari Inovasi MARDI seperti Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE), pameran dan pertandingan Anugerah Inovasi Akar Umbi MARDI (AUM), pertandingan Anugerah Inovasi MARDI (AIM), Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan seminar intelektual.

Pameran dan pertandingan MSTE telah dianjurkan sejak 2005. Objektif MSTE ialah sebagai platform kepada penyelidik MARDI berkongsi ilmu dan pengalaman serta menunjukkan penemuan hasil penyelidikan yang telah dijalankan. Manakala AUM pula diperkenalkan pada 2014 dan ia melibatkan pameran dan pertandingan inovasi kakitangan sokongan MARDI.

KIK merupakan inisiatif dalam perkhidmatan awam yang bermula pada tahun 2010 sebagai usaha untuk menggalakkan kakitangan kerajaan dalam memperkenalkan inovasi dan membuat penambahbaikan terhadap sistem kerja sedia ada. AIM merupakan penganugerahan kepada penyelidik dan kakitangan MARDI yang telah memberi sumbangan dan mencapai kecemerlangan di sepanjang tahun penilaian dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan.

Selain itu, HIM juga merupakan medan pengiktirafan kepada penyelidik MARDI atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains, teknologi dan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tema Hari Inovasi MARDI pada tahun ini ialah Agriculture Transformation, Prosperous Nation adalah berdasarkan hala tuju kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi menjamin bekalan makanan rakyat yang sekali gus menjadikan negara makmur dan sejahtera. Ia juga selari dengan visi MARDI sebagai gedung inovasi agromakanan serta misi MARDI yang memberi fokus utama dalam penjanaan teknologi pertanian untuk kesejahteraan rakyat.